di lamar

#jodohberdua 

#jodohberdua merupakan satu projek antologi cerpen. Projek antalogi cerpen jodoh berdua ini saya sertai dari pemilihan idea spark sahabat penulis saya, Cik Puan Rahmah Mokhtar (Mak Mah). Beliau merupakan penulis muda yang telah melahirkan diantaranya dua naskah buku, sebuah novel Lelaki Berbaju Biru dan satu kompilasi cerpen Aku Terima Cintanya. Perkenalan singkat bermula saat saya menambah rangkaian rakan penulis di ruang muka buku saya, bertujuan mencari mentor dan sahabat penulis yang boleh membimbing saya menulis. 

Bermula dari situ, kerap saya mengikuti status posting beliau dan secara tak langsung saya mengambil peluang menyertai pemilihan idea spark yang beliau adakan untuk projek penulisan beliau yang terbaru. Alhamdulillah, idea spark saya terpilih untuk diolah dan dimuatkan didalam antologi cerpen beliau yang terbaru #jodohberdua. 

Tujuan saya menyumbangkan idea spark adalah untuk melihat bagaimana olah cerita yang akan dihasilkan nanti, dengan harapan saya dapat belajar menulis dari situ juga. Syukur. Langkah awal berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Impian saya adalah untuk menghasilkan satu naskah cerpen motivasi mahupun bahan bacaan yang mampu membangunkan jiwa. Moga Allah mudahkan amal saya yang sedikit ini. 

Menulis merupakan salah satu terapi diri saya yang paling saya suka. Kerana itu mungkin saya kurang suka berbual dan bercerita, saya lebih suka menulis. (Tapi, jika sudah jumpa "geng" sekepala memang akan rancak lah perbualannya). Pernah ketika disekolah menengah saya karangkan satu cerpen remaja dan ketika itu ada juga cita-cita ingin menjadi penulis. Saya kira, masih belum terlewat untuk menjadikannya satu realiti. 

Tulisan itu ibarat mata pedang, ia bisa juga menjadi bara api pembakar semangat yang lemah, ia bisa membelai memujuk hati yang lara, ia juga mampu membangunkan kembali jiwa yang jatuh tersungkur. Begitu besar penangan ayat-ayat yang jika lahirnya dari hati yang Ikhlas.



"Kejayaan itu diukur pada tiap kangkah yang kita cipta sendiri bukan langkah orang lain"

Setiap dari kita memiliki potensi diri yang tersendiri. Potensi itu adalah alat untuk mencapai redho Allah. Hidup ini hanya lelah kehidupan jika kita salah gunakan potensi diri dan akhirnya menjadi satu penyesalan. Carilah, dimana kekuatan diri dan gilaplah ia untuk manfaat dunia dan akhirat. Jika tidak, kita hanya mengulangi satu kitaran kehidupan seperti robot. Cari rezeki- guna untuk makan, pakai dan tempat tinggal- tido- cari rezeki. Kemudian diulang-ulang sehingga dijemput Ilahi. Sedangkan kita diciptakanNya bukan untuk itu semata. Ada matlamatnya kita dilahirkan di dunia ini. 

Teringat kata-kata cendiakawan. "Jika tidak, apakah bezanya kita dengan haiwan?".

Perhalusi potensi dan koreksi.
Adakah potensi diri kita itu ia memberi manfaat?
Jika ya, teruskan tanpa curiga. Gilap dan mantapkan potensi tersebut untuk dunia dan akhirat.
Di situ lahirnya barakah sepanjang kehidupan.

Terkadang, ia sesuatu yang tidak memberikan pulangan dunia yang banyak tetapi ganjaran dari Allah jika ikhlas.

Dengan itu, saripati kehidupan ini lebih bermakna.

Teringat tulisan terbitan pertama saya di Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka tajuk "Cabaran Tulisan Jawi dalam Arus Teknologi" Edisi Jun, 2013. Hadiah buat diri sendiri selepas mencabar diri sendiri untuk menulis. Timbul satu keyakinan dari pencapaian ini, iaitu saya boleh menulis. Walaupun genre tulisan adalah berbentuk rencana ringkas. Lebih kepada pengolahan fakta dan informasi. Menyusun bahasa itu amatlah payah.


Kisahnya, saya berkenalan dengan Editor majalah tersebut di Perpustakaan Negara semasa mencari bahan rujukan untuk penyelidikan. Lewat pertemuan itu, kami bertukar nombor telifon dan beliau melamar saya untuk menulis mengikut tema bulan tersebut. Melihat ia sebagai satu peluang belajar, saya cuba-cuba sahaja menulis dan hantar terus kepada beliau. Syukur saat itu apabila membaca artikel pertama yang diterbitkan diruang majalah tersebut.

Kerana saya semakin sibuk dengan penyelidikkan, saya jarang hubungi beliau dan kurang menulis sebaliknya banyak membaca. Kini, beliau sudah bertukar kebahagian Majalah lain dan saya telah hilangkan nombor kontek beliau dari telifon lama. Gagal untuk hubungi lagi.

belajar menulis

"Jika rasa nak lari sebentar dari studi, PM saya. Saya akan tunjukan cara"

Semalam saya di lamar Mak Mah, secara tak langsung untuk membimbing saya menulis cerpen pertama saya. Status di ruang muka buku saya menjadi satu tarikan beliau lalu dicadangkan kepada saya untuk hasilkan satu cerpen. 

Saya nyatakan bahawa saya kurang pandai mengolah plot dan jalan cerita. Ya. itu salah satu tembok besar yang saya masih gagal pecahkan. Mungkin belum temui cara dan masih perlu belajar. Lewat perbincangan serba ringkas, beliau kongsikan beberapa bahan asas. Seperti tidak percaya pula. Banyak yang saya ingin belajar tentang menulis, cuma belum berkesempatan rezeki dan masa sahaja untuk saya sertai mana-mana bengkel penulisan. Tanpa disangka, Allah hadirkan mentor yang sudi membimbing. 

Cerpen yang bakal saya nukilkan ini agak istimewa, kerana ia digarap saat saya sedang kritikal berhempas pulas dengan pelbagai situasi. Walau hanya 8 halaman sahaja panjang cerpen yang harus saya tulis, ternyata menyusun kata dan jalan cerita untuk cerpen itu berbeza dengan menulis jurnal kehidupan begini, 

InsyaAllah, ada hikmah apa yang Allah aturkan. Setiap apa yang ditakdirkan itu ada asbabnya, ikhlaskan hati dan ambil peluang yang diberi,

Comments

Popular Posts