Tazkirah Qalbi : MUDA BUKAN SEKALI

Seperti jasad lahir yang perlu makanan, hati juga perlukan makanan. Makanan hati ialah zikrullah (ingat Allah). Tanpa zikrullah, hati akan kelaparan. Jasad yang tidak mendapat makanan, akan menjadi lemah, maka begitu juga hati apabila tidak berzikir, ia akan lemah.  Hati yang lemah tidak akan mampu menerima kebenaran dan melakukan kebaikan. Akal mungkin mengakui, tetapi masih tidak dapat bertindak, kerana hati terlalu lemah. Ada pengetahuan, tetapi kurang kemahuan.
 Jika terus dibiarkan tanpa zikir, hati akan sakit. “Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahwa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?.” (Muhammad: 29). Dan  jika berterusan dibiarkan, lama kelamaan hati itu akan mati. Apabila hati mati, terkuncilah ia daripada mendapat kebenaran secara total.  Pada  ketika itulah berlakulah seperti yang dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya:” Allah Telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup . dan bagi mereka siksaan yang besar.” (al-Baqarah: 7).
 Nauzubillah, kita tidak inginkan hati yang mati. Kerana hati yang mati lebih berbahaya daripada jasad yang mati.  Kita inginkan hati yang terus mendapat cahaya daripada Allah. Biarlah cahaya ilmu dan iman terus berada di dalam hati kerana itulah bekalan yang paling penting untuk mendapat keselamatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Firman AllahMaka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? ….”(az-Zumar: 22)
 Untuk itu hati mestilah sentiasa mendapat kerehatan dan rawatan. Jangan dibiarkan hati menjadi terlalu letih dengan urusan dunia, tanpa mendapat kekuatannya semula. Dengan apa hati berehat? Hati berehat dengan solat. Demikianlah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila ada perkara berat yang mengujinya.  Baginda akan bersabda kepada Bilal: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat”. (Ahmad). “Bangun ya Bilal, rehatkan kami dengan solat”. Ya, dengan solat hati berehat, dengan solat hati kembali kuat.
 Justeru hukama berkata, ““Apabila kamu merasa hidup kamu tidak baik, maka ketahuilah sesungguhnya kerana solat kamu masih belum baik”.Dalam solat, hati yang penat akan tersambung dan terhubung kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuat. Pada ketika itulah hati belajar ‘melepaskan’ segala kekusutan yang membelenggunya. Pada Allah jualah diadukan segala keresahan, kerunsingan dan kelemahan diri. Solat ialah talian hayat bagi hati yang kelesuan dan kekeliruan apabila dihentam pelbagai ujian.
 Let go, let God – belajar melepaskan dan menyerahkan segala urusan kepada Allah. Pada ketika itulah hati yang sendat dengan pelbagai masalah itu melepaskan segalanya kepada Allah yang Maha Perkasa. Ia akan kembali lapang dan tenang. Umpama setitik air yang dilepaskan kembali ke tasik yang luas dan dalam. Maka begitulah hati yang kembali kepada Allah. Ia kembali kepada asalnya. Ia kembali kepada fitrahnya.
 Hidup ini penat, mari berehat dengan solat. Solat adalah satu tempoh berehat buat seluruh anggota badan, terutamanya hati.  Hati ialah ‘anggota’ manusia yang paling penat kerana dialah yang menjadi penggerak kepada segala perlakuan dan tindakan samada yang zahir atau yang batin. Dialah pemerintah yang paling banyak kerjanya dalam masa sehari, seminggu, sebulan, setahun, malah sampai seluruh hayat. Hati yang bersifat maknawi itu sama seperti jantung yang tidak pernah ‘bercuti’ daripada mengepam oksijan dan darah ke seluruh tubuh.
 Jika kita perlu memberi kerehatan pada kaki, yang penat berjalan, pada mata yang penat melihat, pada akal yang penat berfikir,  maka begitulah kita perlu memberi kerehatan pada hati yang penat dalam merasai, mempertimbangkan dan membuat keputusan dalam setiap bidang kehidupan. Hatilah yang menjadi sasaran dan tumpuan kepada segala masalah dan cabaran dalam hidup. Sekejap resah, sekejap tenang, sekejap sedih, sekejap gembira. Silih berganti, tidak henti-henti. Perubahannya yang ligat, bagai kuah yang sedang mendidih.
 Pergolakan hati yang laju itu perlu direhatkan.  Bagaimana? Sekali lagi, dengan solat. Orang yang solat umpama orang yang sedang berehat. Kerana di dalam solat dia mengadu, merayu, ‘berbual-bual mesra’ dengan Tuhannya. Bayangkan seorang anak yang duduk dipangkuan ibunya, ketika dia meluahkan segala isi hati, keinginan, kesusahan, kecelaruan dalam hidupnya… Maka ketika itulah ibu yang penyayang akan meluahkan kata-kata simpati, peransang, dorongan dan belaian yang sangat melegakan hati sianak.
 Maka begitulah seorang hamba ketika berdepan dengan Allah di dalam solatnya. Firman Allah:” “Mintalah pertolongan dengan sabar dan shalat” (Al Baqarah: 45). Al hasil, segala kesusahan dan keresahan hatinya pasti mendapat pembelaan dan pertolongan daripada Tuhannya. Bukankah Allah telah berfrman, ““Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)” (An Naml: 62).
 Hati juga boleh ‘tercedera’ dan sakit. Justeru, ketika itu ia perlukan rawatan. Rawatan bagi hati ialah membawanya hampir dengan Allah. Hati yang sihat ialah hati yang sangat hampir dengan Allah. Hati yang sakit, hati yang jauh dari Allah. Apakah yang boleh merenggangkan hati dengan Allah? Jawabnya, dosa! Justeru, cara merawat hati ialah dengan bertaubat kepada Allah. Istihgfar akan merawat hati. Taubat akan mengubat hati.
Sabda Rasulullah saw: Allah telah berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”  Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi.
 Taubat ialah cara merawat hati daripada sakit yang diakibatkan oleh dosa. Hati yang tidak mendapat rawatan, akan menjadi hati yang kuat dan sehat. Firman Allah: “ Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52)”
 Hati juga perlu dirawat dengan melakukan mujahadah secara istiqamah dan berterusan. Perangi habis-habisan bujukan nafsu dan godaan syaitan. Dua musuh dalam diri itu umpama virus yang menyebabkan penyakit hati. Hanya mujahadah yang mampu mengalahkan ‘virus’ itu. Tidak ada jalan pintas. Melainkan segala yang disukai nafsu, ditentang. Segala bujukan syaitan diperangi. Jika kita alpa memerangi keduanya, penyakit hati akan bertambah parah.
 Apabila  mujahadah sudah sampai ke tahap maksima, yakni sudah dilakukan secara bersungguh-sungguh maka, akan datanglah bantuan Allah dalam bentuk pimpinanNya. Firman Allah:” “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”
Dan kini bicara buku ini sudah sampai ke penggujungnya. Namun, misi dan harapannya tidak pernah berhujung. Anggap sahaja buku ini sebagai satu perkongsian kecil antara saya yang daif ini dengan para pembaca yang budiman. Mengajak, bukan mengajar.  Kita hakikatnya adalah sama. Sama-sama berperanan sebagai musafir yang sering kelelahan dalam kehidupan dunia yang penuh ujian ini. Alangkah indahnya jika kita saling berpegang tangan untuk sama-sama berehat dan merawat hati. Semoga kita  mendapat semula kekuatan hati yang sering hilang untuk meneruskan perjalanan menuju Allah dengan lebih yakin, gagah dan tabah.
 Khususnya, para remaja, ingatlah perjalanan hidup ini ialah perjalanan hati bukan perjalanan kaki. Jika hati kuat, sehat dan bertenaga, segalanya akan jadi indah dan mudah. Tetapi jika hati sudah letih dan sakit… segalanya akan menjadi pahit, sukar dan menjemukan. Bila sakit kaki, kita hanya hilang keupayaan berjalan. Tetapi jika sakit hati, kita akan kehilangan tujuan dan harapan.
 Sekianlah. Selamat solat, bertaubat, bermujahadah dan mengingati Allah. Ingatlah, semua itu adalah langkah-langkah menuju Allah. Walaupun langkah itu sukar, namun Allah telah berjanji, “Siapa mendekat kepada KU (Allah) sejengkal, maka aku akan mendekatinya satu hasta, Siapa yang mendekat kepada KU (Allah) satu hasta, maka aku akan mendekat kepadanya satu depa. Dan siapa yang mendekat kepada KU (Allah) dengan berjalan kaki, maka aku akan mendekatinya dengan berlari-lari kecil.” (HR Muslim).
 Bawalah hati mu berlari. Jika penat berehatlah. Kemudian berlarilah lagi. Walau penat, jangan sekali-kali berhenti. Di sini memang tempat berpenat, di sana nantilah tempat kita berehat!

Comments

Popular Posts