ibu ..ibu ..ibu

Rindu 

Usai saya selesaikan jemuran. Ada misscall dari ibu. Ah! begitu kuat naluri seorang ibu. Baru sahaja saya terdetik menghubunginya, dia terlebih dahulu menelifon saya. Ibu seorang yang tidak pandai pamerkan kasih sayang dihadapan anak-anak. Ibu akan melepaskan rindunya pada anak-anak melalui anaknya yang lain. Tidak secara terus. Saat saya menyedari akan hal ini, kami adik-beradiklah yang harus menyalurkan kasih sayang ibu sesama kami.

Apa yang mengheret saya kepada rindu yang amat sangat baru-baru ini adalah bila terkenangkan keadaan ibu. Kakinya sudah tidak kuat berdiri lama. Kaki kanannya sudah merengkot menyebabkan ibu sukar berjalan. Jari jemarinya sudah mula merengkot, sukar digenggam. Sakit sendinya semakin menguji fizikal ibu. 

Ibu bukan hanya sakit atas apa yang dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi yang lebih menjadikannya sakit adalah ketidakstabilan jiwanya. Ibu lemah jiwanya. Sedikit keserabutan dalam fikirannya akan terus menangkap emosi dan ibu akan bersedih, menangis dan meratap nasib diri. Bagi menguruskan ibu dalam keadaan ini sangat sukar. Saya sendiri masih belum kuasai kaedahnya. 

Sabar

Teringat pesan ayah diawal bulan Ramadhan tempoh hari. Nasihat ayah ketika kami keluar membeli barang keperluan rumah bersama.

"Kakak, Ramadhan ini kakak perlu belajar lebih bersabar. Keadaan ibu akan lebih menguji kita bermula awal ramadhan ini hingga hari raya "

Sukar, Ya, sangat susah untuk melatih diri bersabar dengan kerenah ibu. Ini kerana sikapnya berubah-rubah mengikut keadaan. Ilmu bersabar itu adalah praktikal, ia berlangsung selari dengan ujian dan kemudian bagaimana kita berdepan dengan ujian itu. Saya lebih banyak belajar dengan melihat bagaimana ayah mengurus ibu. Ayah manusia paling sabar dengan keadaan ibu, Moga Allah rahmati dan kurniakan ayah kasih sayangNya atas segala khidmat ayah buat ibu. 

Ayah banyak diam dan menurut sahaja, ayah ketepikan egonya sebagai lelaki. Terkadang saya sendiri marah jika ibu membentak-bentak pada ayah sedangkan perkara yang diminta boleh diminta dengan cara baik. Namun ayah diam dan pabila ada peluang ayah nasihatkan saya untuk lebih bersikap lembut pada ibu kerana sakitnya memang begitu. Hampir 5 kali Ramadhan dan Syawal, kemuncak kesabaran kami memang teruji berbanding hari-hari biasa. Tetapi disinilah pada saya merupakan keadaan yang terbaik bagi saya belajar dan terus memperbaiki diri menjadi anak yang solehah dan penyejuk mata ibu dan ayah. Biarpun banyak kali saya menangis sendiri saat gagal lakukan yang terbaik untuk ibu.

Jika derita ibu boleh dipindahkan, ingin sahaja saya yang menangungnya. Saya ingin berikan yang terbaik untuk ibu. Kesihatan fizikalnya, dan kesihatan jiwanya. Moga Allah permudahkan segala niat saya untuk ibu ibu ibu dan ayah.

Setiap hari yang berlalu adalah untuk kita muhasabahkan. Semoga terus kuat dan yang menguatkan diri itu adalah dengan kembali berpaut kuat pada Allah!

Be Strong my dear!







Comments

Popular Posts